CLOSE
CLOSE

Selepas Ini Hanya Tinggal Gabungan ‘Fattzura’, Yang Lain Boleh Simpan!

Fattah – Fazura sudah sah suami isteri.


  • Share:

Selepas Ini Hanya Tinggal Gabungan ‘Fattzura’, Yang Lain Boleh Simpan!
Fattah - Fazura sah jadi pasangan suami isteri. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)

Dengan sekali lafaz, pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, selamat bergelar suami isteri dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara sekitar jam 9.50 malam tadi.

Pada majlis yang hanya dihadiri keluarga terdekat dan teman rapat kedua-duanya, Nur Fazura atau Fazura kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden sentuhan pereka kegemarannya, Rizman Ruzaini, serta solekan oleh Sheila Mohamad, manakala Fattah pula segak berbaju Melayu.

Baru-baru ini, teraju utama telefilem Wanita Terindah itu mengumumkan mereka sudah pun bertunang pada 13 November lalu di kediaman keluarga Fazura sekali gus menangkis dakwaan sudah bernikah seperti yang hangat diperkatakan di laman sosial.

Dalam sidang media itu juga, mereka turut memaklumkan majlis pernikahan yang dibuat secara tertutup itu akan berlangsung dalam masa terdekat manakala resepsi pula akan diadakan pada awal tahun depan.

Kronologi kisah cinta Fattah, 27, dan Fazura bermula apabila kedua-duanya membintangi drama bersiri Hero Seorang Cinderella sehingga membuatkan peminat mencipta gabungan nama berserta tanda pagar #Fattzura.

Kehadiran Fattah pada acara pertunjukan fesyen House of Doll milik Fazura sambil memberi jambangan bunga di atas pentas serta menghadiahkan 500 kuntuman bunga mawar ketika sambutan ulang tahun penyanyi Sayangi Dirimu itu, September lalu, menguatkan lagi desas-desus mereka sememangnya bercinta.

Ketika mengerjakan umrah pada 15 hingga 23 November lalu, pelbagai spekulasi mengenai ikatan sebenar pasangan ini timbul, sekali gus ada yang mengatakan pasangan itu sudah bernikah ketika berada di Tanah Suci.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top