CLOSE
CLOSE

Syura Akur Tersingkir Di Peringkat Separuh Akhir GV4

Bertahan hingga ke minggu ketujuh walau diserang penyakit misteri.


  • Share:

Syura Akur Tersingkir Di Peringkat Separuh Akhir GV4
Bertahan ke separuh akhir biarpun 'sakit'. (Pic: Aishah Aziz)

"Saya akur tersingkir kerana saya tahu peserta lain lebih hebat daripada saya," kata Syura yang tersingkir pada persaingan konsert separuh akhir Gegar Vaganza ke-4 (GV4) yang berlangsung pada Ahad lalu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Meskipun langkahnya terhenti di peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim keempat, Syura akur dan mengaku puas mampu bertahan sehingga ke minggu ketujuh pertandingan itu.

Semua yang bertanding punya kekuatan.

Bagi dirinya, dia tewas di tangan enam peserta lain yang ternyata memberikan persaingan sengit dan persembahan yang lebih baik membawa mereka ke peringkat akhir Ahad ini di Johor Bharu.

“Satu perkara yang penting saya mampu bertahan sehingga minggu ketujuh, di mana saya sendiri tidak sangka kemampuan saya ini.

“Semua peserta yang ada dalam pertandingan kali ini bukan sembarangan dan saya sedar di mana saya,” katanya Rojak Daily Kaw!

Alami penyakit misteri.

Di sebalik semua itu, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Nazam Berkasih itu berkongsi kisah dia sebenarnya melalui medan pertandingan itu dengan dugaan penyakit misteri yang dialaminya sejak bulan September lalu.

Sepanjang pertandingan itu juga, dia memberitahu badan sebelah kirinya sentiasa kebas dan suaranya akan hilang setiap waktu pagi hingga mengganggu persediaan untuk persembahannya.

“Saya juga hilang 12 kilogram berat badan akibat situasi yang saya lalui selain mengalami muntah-muntah dan migrain yang teruk. Malah saya juga kerap berpeluh setiap kali menyanyi dan berada di pentas.

“Bagi saya, saya percaya pada Allah dan akan berusaha untuk pulih,” katanya.

Syura tetap setanding dengan peserta lainnya.

Juri tetap pertandingan berkenaan Datuk Ramli MS berkata, juara GV4 akan tentukan berdasarkan persembahan mereka pada malam akhir Ahad ini secara keseluruhan.

Beliau berkata, apa yang diperlukan oleh juri daripada setiap peserta ialah persembahan berskala konsert besar dan impak mempesonakan.

“Mereka juga bakal diberikan ganjaran yang lumayan hanya dalam tempoh kira-kira enam minit bekerja di atas pentas, jadi kenapa tidak boleh berikan yang terbaik pada malam konsert akhir nanti,” katanya.

Bercerita mengenai kekuatan finalis, Ramli berkata masing-masing mempunyai kekuatan yang luar biasa sebagai contoh Aishah yang mampu menyanyi apa juga key lagu.

Tetap berikan yang terbaik.

Katanya, Liza Hanim pula mempunyai keupayaan untuk membuatkan lagu orang menjadi lagu miliknya serta Tia Jinbara menyamai kehebatan penyanyi rock lagenda Indonesia Ahmad Albar.

“Semua ada kekuatan masing-masing dan seperti yang saya katakan tadi tiada kompromi untuk mereka lakukan kesilapan.

“Mereka tahu kemampuan mereka dan apa yang perlu dipersembahkan,” katanya.

Hazami, Aishah, Firman, Tia Jinbara, Liza Hanim dan Lan Solo ke peringkat akhir.

Pada malam konsert Ahad lalu, Syura disingkirkan selepas mendapat markah terendah 58.1 peratus manakala Hazami muncul peserta yang berada di kedudukan pertama dengan 70.55 peratus.

Enam peserta yang layak ke pusingan akhir yang bakal berlangsung di Pinewoods Studios, Johor Bharu ialah Hazami, Aishah, Firman, Tia Jinbara, Liza Hanim dan Lan Solo.

Setiap peserta akan menyampaikan persembahan secara solo dan battle serta diadili oleh empat orang juri profesional termasuk dua juri jemputan.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top