CLOSE
CLOSE

Sofi Jikan Positif Ganja, Direman Tiga Hari

Polis kenalpasti dua lagi individu letak dadah dalam minuman Farid.


  • Share:

Sofi Jikan Positif Ganja, Direman Tiga Hari
Ditahan reman tiga hari. (Pic: BH Online)

"Alhamdulillah syukur, pengalaman yang amat menarik," itu kata-kata pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan selepas ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana didapati positif dadah jenis ganja.

Pemilik nama sebenar Mohamad Shoffi Jikan ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara, pada jam 11 malam semalam, selepas hadir memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Perintah reman tiga hari berakhir Jumaat dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Hairul Azhar Mohd Ishak terhadap pelakon berusia 48 tahun itu.

Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.

"Guys, Malaysia is wonderful (Kepada semua, Malaysia menakjubkan)," katanya ketika ditanya wakil media sebelum dibawa pegawai penyiasat kes dan beberapa anggota polis.

Terdahulu, Sofi Jikan yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.03 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik reman pada jam 11.25 pagi.

Suspek yang diiringi anggota polis keluar dari bilik reman 30 minit kemudian.

Terdahulu, dalam laporan polis yang dibuat pada 31 Januari itu, Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artisnya yang juga dalang di sebalik insiden meletakkan dadah dalam minumannya.

Pada 16 Januari lalu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Manakala pada 25 Januari lalu dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC).

Semalam, Sofi Jikan pula ditahan selepas dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kes penyalahgunaan dadah bulan lalu.

Sementara itu, mengenai perkembangan lain, pihak polis dilaporkan sudah mengenalpasti identiti dua lagi individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah bersama pelakon Sofi Jikan seperti yang didedahkan Farid sebelum ini.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top