CLOSE
CLOSE

8 Tarikan Royal Belum Yang Harus Anda Teroka

Destinasi ini wajib anda masukkan dalam kalender percutian 2017.


  • Share:

8 Tarikan Royal Belum Yang Harus Anda Teroka
Gambar: Wonderful Malaysia dan Gaya Travel
Hutan Belum terletak di daerah Hulu Perak, bersempadan dengan Thailand disebelah utara dengan Lebuhraya Timur-Barat disebelah selatan dan disebelah Timur bersempadan dengan negeri Kelantan. Hutan Belum telah diisytiharkan sebagai Royal Belum oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada tahun 2003. Royal Belum diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak pada 17 April 2007. Kawasan seluas 117,500 hektar telah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum.

Dari segi sejarah, 'Belum' nama dikatakan berasal daripada bunyi yang dipancarkan oleh serangga kayu yang berbunyi seperti “Belummm, Belummm”. Pada awal April yang lalu, kami telah dijemput oleh Tourism Perak untuk melihat sendiri keindahan Royal Belum dan ternyata ia membuka mata kami tentang keluasan dan keasliannya. Bersempena dengan kempen Visit Perak 2017 dan Discover Perak, disini kami menyenaraikan lapan tarikan yang kami saksikan dan kini kami mahu anda ke sana, merasai pengalaman indah ini sendiri. 

Cara untuk ke Royal Belum:

Jika anda dari Kuala Lumpur ataupun dari utara, anda boleh melalui Lebuhraya Utara Selatan terus sehingga Kuala Kangsar. Keluar di Kuala Kangsar dan gunakan jalan Kuala Kangsar-Grik-Pulau Banding. Tiba di Pulau Banding, anda akan berjumpa dengan Jeti Aman Jaya, Grik dan boleh menaiki bot untuk ke Royal Belum. Royal Belum hanya boleh diakses menggunakan bot dan dengan permit yang sah. Permit bagi warganegara Malaysia berharga RM10 manakala RM20 bagi pelancong asing. Cara untuk membuat permit, anda hantarkan nama dan nombor kad pengenalan pada alamat email taman_negeri@yahoo.com.my. Permit anda akan siap dalam masa 24 jam. Ekspedisi anda meneroka Royal Belum juga akan ditemani oleh ranjer perhutanan. Sebarang maklumat lanjut, anda boleh klik disini

8 tarikan Royal Belum yang harus anda teroka

1)    Bunga Rafflesia

Kami terserempak dengan bunga Rafflesia yang sudah mati.
Dikenali sebagai bunga paling besar di dunia, ia juga boleh didapati di Royal Belum. Bunga Rafflesia yang ada di Royal Belum terdiri daripada tiga spesis iaitu R. Kerrii, R. Cantleyii dan R. Azlanii. Jika anda bertuah, anda boleh nampak bunga ini kembang megah. Semasa kehadiran kami ke Royal Belum, kami terjumpa sekuntum bunga Rafflesia yang berusia 9 bulan dan sedang menunggu hari untuk kembang dan sekuntum lagi Rafflesia yang kembang namun sudah bewarna coklat kehitaman. Itu bermakna bunga tersebut sudah mati. Jangka hayat bunga Rafflesia sekejap sahaja. Bunga ini boleh kembang dan mati dalam masa dua minggu sahaja. Biarpun telah berwarna kehitaman, kami tetap kagum melihat bunga terbesar ini di depan mata.

2)    Perkampungan Orang Asli

Anak-anak Orang Asli Kampung Aman Damai, Grik, Perak.
Selain kaya dengan khazanah flora dan fauna, Royal Belum juga didiami oleh masyarakat Orang Asli. Terdapat beberapa penempatan Orang Asli yang boleh anda lawati antaranya Kampung Orang Asli Aman Damai, Kampung Orang Asli Sungai Kejar, Kampung Orang Asli Sungai Tiang dan Kampung Orang Asli Belum Lama. Kebanyakkan Orang Asli ini terdiri dari suku kaum Jahai dan suku kaum Negrito. Mereka menerima lawatan anda dengan hati dan tangan terbuka. Kelibat anak-anak Orang Asli yang comel dan malu-malu ini begitu menceriakan kami. Jika berkesempatan ke sini, bawalah beberapa saguhati seperti makanan dan permainan untuk diberikan pada kanak-kanak Orang Asli. Sumbangan juga boleh diberikan pada tabung sumbangan mereka. Mereka akan sangat menghargainya. 

3)    Salt Lick

Tempat haiwan menjilat garam mineral.
Tahukah anda apa itu salt lick? Salt lick adalah kawasan dimana terdapatnya garam mineral terkumpul dan pelbagai haiwan akan datang ke kawasan tersebut dan menjilat garam mineral sebagai salah satu sumber nutrisi. Di Royal Belum, terdapat 12 lokasi salt lick untuk haiwan-haiwan ini berkumpul. Jika anda ke sini, anda boleh melihat pelbagai jenis tapak kaki haiwan yang datang menjilat garam mineral.  

4)    Santuari Ikan, Air Terjun Ruok

Sambil memberi ikan makan, boleh mandi-manda.
Tiada apa yang lebih menenangkan di Royal Belum ini apabila melihat ikan-ikan bebas berenang menikmati makanan yang kita berikan. Jarak dari jeti bot ke Air Terjun Ruok lebih kurang 10 minit dimana anda perlu melalui trek yang agak mudah sebelum sampai ke air terjun ini. Apabila tiba, anda boleh menikmati keindahan air terjun, mandi-manda serta memberi ikan makan.  

5)    Air Terjun Sungai Kooi

Sangat cantik air terjun Sungai Kooi.
Bagi penggemar aktiviti mendaki, Air Terjun Sungai Kooi akan mengujakan anda. Daripada jeti, anda perlu mendaki trek yang mudah untuk sampai ke air terjun ini. Setengah jam mendaki naik, anda akan bertemu dengan sebuah air terjun tinggi yang sangat cantik. Segala penat Lelah anda mendaki akan hilang sekelip mata setelah melihat keindahan ciptaan Tuhan ini.

6)    Burung Enggang

Terdapat 10 jenis Burung Enggang di Royal Belum.
Tidak hanya boleh didapati di negeri Sarawak dan Pahang, burung Enggang juga boleh dijumpai di Royal Belum. Ada 10 jenis burung Enggang yang boleh didapati di Malaysia dan kesemua 10 jenis itu ada di Royal Belum. Jika anda bernasib baik, anda boleh nampak burung ini hinggap di pokok. Namun semasa kehadiran kami, kami tidak berkesempatan untuk melihat burung yang cantik ini. 

7)    Kem Royal Belum

Kem Sungai Tiang selesa untuk tempat menginap.
Terdapat empat kem di Royal Belum untuk kemudahan anda menginap. Anda boleh memilih untuk menginap di Kem Sungai Papan, Kem Sungai Kenarong, Kem Sungai Tiang dan Kem Sungai Kejar. Setiap kem ini mempunyai tarikan dan aktiviti tersendiri antaranya memancing, berkayak, berakit dan sebagainya. Namun lebih istimewa, anda boleh memilih tinggal di rumah bot yang berlegar-legar di sekitar sungai. Rumah bot akan memberikan anda satu pengalaman baru dimana anda tidur, makan dan menikmati keindahan sungai belum dari dalam bot yang besar. 


8)    Belum Rainforest Resort

Belum Rainforest Resort mengadap Tasik Temenggor, Royal Belum.
Selain terkenal dengan keindahan flora dan faunanya, antara yang menarik perhatian orang untuk datang ke Royal Belum adalah Belum Rainforest Resort. Resort mewah di tengah hutan ini cukup menarik dan suasana dalamnya sangat menenangkan jiwa. Belum Rainforest Resort boleh diakses menggunakan Lebuhraya Timur Barat iaitu dari Grik dan Kelantan. Anda akan kagum dengan binaannya yang mengadap Tasik Temenggor dan dikelilingi gunung-ganang membuatkan saujana mata memandang. Sambil berehat menikmati ketenangan alam, anda juga boleh mengambil pakej-pakej aktiviti hutan Royal Belum yang tersedia. 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top