CLOSE
CLOSE

Dari YouTube, Adam Shamil Kini Bergelar Pengacara TV

Bakal mengacara travelog 13 episod ke Maghribi


  • Share:

Dari YouTube, Adam Shamil Kini Bergelar Pengacara TV
Gambar: Adam Shamil

Jika sebelum ini kami pernah menyiarkan artikel mengenai jejaka ini yang semakin hangat dan mendapat tempat di Youtube, anak kelahiran Sabah, Adam Shamil kini semakin mendapat perhatian apabila kerjayanya semakin berkembang menjadi pengacara TV. Adam Shamil yang cukup terkenal dengan video Get it Right serta video Cucu Buli Nenek sehingga mendapat perhatian aktres Fasha Sandha dan Datuk Seri Vida, bakal mengacarakan sebuah program 13 episod berbentuk travelog ke Maghribi di Astro TVi.

Berbesar hati didekati oleh pihak Wide Angle Productions dan terpilih menjadi pengacara program, Adam memandang ini sebagai peluang berharga untuknya bertapak kerana sudah menjadi cita-citanya untuk bergelar seorang hos TV.

Menurut anak muda berusia 22 tahun ini, "saya dapat email dari pihak produksi lebih kurang sebulan sebelum tarikh untuk berlepas ke sana.  Persediaan untuk ke sana tu memang saya tumpu 100% bermula dari proses permohonan visa, kajian tentang Maghribi, sejarahnya, makanannya serta pelbagai maklumat tambahan untuk kandungan saya nanti". Program 13 episod bertajuk 'Jelajah Rasa' ini berkisar tentang makanan-makanan yang ada di Maghribi. Adam dan kru produksi akan mengembara serata Maghribi menjelajah tempat baru dan mencuba makanan yang ada di kawasan yang dilawatinya. "I travel through taste, saya menjelajah tempat baru dan mencuba makanan di sekitar Maghribi seperti Tanjin daging lembu, siput rebus, buah-buahan tempatan dan banyak lagi. Memang satu cabaran sebab ia menggerunkan tapi overall memang one hell of an experience!", jelas Adam lagi.

Pengalaman berharga di Magribi.

Perjalanannya merentasi benua dan sampai ke Maghribi antara yang paling manis kerana dia dapat mengembara ke tempat baru setiap hari dan tentunya mencuba makanan tradisi mereka. Setiap hari memberikan pengalaman yang berbeza-beza dan menjelajah ke tempat yang kita belum pernah pergi benar-benar mengujakannya.

Tambah Adam lagi, "Saya menginap di satu tempat yang dipanggil Medina, Maghribi yang terbahagi kepada dua kawasan, Maghribi moden dan Maghribi lama. Saya tinggal di Maghribi lama dimana ia menempatkan orang-orang biasa atau bertaraf rendah. Di sini, anda akan nampak bangunan-bangunan usang seakan-akan anda berada di kawasan perang! Pemerhatian pertama saya, selamat ke tempat ni, tapi lama-kelamaan terserlah sikap baik dan peramah penduduk Maghribi sehingga membuatkan trip ini antara yang tersemat di hati saya". 

Adam dan kru produksi

Namun hari pertama Adam berada di sana, nasib tidak menyebelahi mereka kerana teksi yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan. "Pemandu teksi kami pandu dengan laju sehingga terlanggar kereta di depan. Seorang pengurus produksi tercedera dan dia dihantar ke hospital serta terpaksa melalui rawatan ringan di sana".

Sememangnya Maghribi antara negara kaya budaya,seni binanya yang indah dan menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. Menghabiskan 10 hari di Maghribi bagi menjayakan 13 episod Jelajah Rasa, Adam ingin berkongsi beberapa tips buat anda yang ingin mengembara ke Maghribi. "Jangan travel sorang-sorang! Orang Maghribi memang sangat peramah dan bertambah peramah bila melihat anda sesat. Mereka akan membantu anda tetapi siaplah anda perlu membayar duit yang banyak pada mereka. Maknanya, mereka akan minta duit tip pada anda. Kalau pergi Maghribi, pastikan anda bawa wang yang cukup kerana kos hidup di sana mahal terutamanya jika anda memilih untuk menginap di Maghribi moden. Kalau nak buat lawatan pun anda perlu duit yang banyak kerana mereka ada terlalu banyak lawatan antaranya lawatan Gurun Sahara, lawatan tempat bersejarah dan banyak lagi. Siapkan duit sahaja".

"Anda kena cuba naik unta di Gurun Sahara! Walaupun panas macam kena bakar, tapi sangat best! Selain itu, kebanyakan restoran di Maghribi tidak menghidang makanan atas pinggan, sebaliknya menggunakan Tanjin - diperbuat daripada tanah liat. Somehow, it makes the food tastier! Jadi orang Malaysia wajib letak Maghribi dalam senarai impian dan cuba makanan mereka", terang Adam lagi.

Magribi sangat menyeronokkan bagi Adam.

Berangan mahu menjelajah ke Jepun, Switzerland dan juga Iceland, Adam berharap peluang untuk menjadi hos TV akan berulang lagi. Selain menjadi hos, "saya kini sedang menghabiskan pengajian semester ketiga di  University of Notthingham, Kampus Malaysia dalam bidang penyiaran TV dan filem antarabangsa. Saya turut menerima banyak tawaran mengacara majlis-majlis korporat, perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, saya akan pastikan saya akan menghasilkan video untuk semua sekurang-kurangnya satu video seminggu".


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top