CLOSE
CLOSE

Pernah Cuba Nasi Lemak Lobster Keju Makaroni Gaya Kontena?

Hidangan istimewa menampilkan 1,001 aroma ini mampu membangkitkan selera pelanggannya.


  • Share:

Pernah Cuba Nasi Lemak Lobster Keju Makaroni Gaya Kontena?
Mungkin pelik melihat nasi lemak berwarna biru tapi tarikan lobster pastinya membuatkan pelanggan terliur untuk menjamahnya. (Gambar: Eiylla Syaharith)
Menu nasi lemak memang cukup sinonim dengan masyarakat di negara ini. Tidak kira di mana saja masakan popular ini menarik perhatian ramai pembeli dan pastinya, ia membangkitkan aroma yang menyelerakan.

Bagi peminat nasi lemak yang mahu mencari lokasi nasi lemak lain yang sedap, apa kata cuba rasa Nasi Lemak Lobster yang semakin menjadi sebutan ramai dan tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Dikenali Projek Nasi Lemak Box, lokasinya terletak di Padang Kota Lama, Pulau Pinang dan paling menarik, ia berkonsepkan kontena yang pertama di Pulau Mutiara ini.

Nasi Lemak Lobster disajikan bersama nasi lemak berwarna biru dari bunga telang serta ramuan ikan bilis, timun, sambal dan telur rebus.

Apa yang membuatkan pelanggan teruja adalah hidangan utama iaitu lobster bersalut keju makaroni selain dihidangkan bersama daun pisang serta dulang rotan.

Harga untuk setiap hidangan bagi Nasi Lemak Lobster cukup istimewa iaitu RM69 bagi udang seberat 300 sehingga 400 gram manakala RM79 bagi 400 gram ke atas.

Setiap pengunjung juga boleh menikmati nasi lemak bersama ayam goreng (RM10.90), sotong goreng gergasi (RM16.90), ikan (RM9.90), telur (RM5.90), ayam manis (RM11.90), udang asam (RM18.90), terung (RM7.90) dan maggi goreng ayam (RM9.90).

Selain itu juga turut dihidangkan pelbagai variasi minuman panas dan sejuk termasuk 'coconut shake', teh tarik, teh hijau valcano, sirap limau dan lain-lain.


PERINCIAN DALAM MASAKAN

Projek Nasi Lemak Box terletak di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Rojak Daily Skop! turut tidak melepaskan peluang mengunjungi Projek Nasi Lemak Box untuk mengetahui lebih lanjut apakah tarikan istimewa sehingga menjadi sebutan ramai pelanggan.

Melangkah ke sini pastinya akan menambat hati setiap pengunjung kerana Projek Nasi Lemak Box ini terletak berdekatan dengan pintu masuk Fort Cornwallis dan Medan Selera Esplanade Park.

Dibuka setiap hari bermula dari 12 tengah hari hingga 3 petang (Isnin hingga Khamis) manakala setiap Jumaat hingga Ahad dibuka dari jam 6.30 petang hingga 12 tengah malam manakala Rabu ditutup.

Bagi Pengasas Projek Nasi Lemak Box, Wayne Chor berkata, keunikkan Nasi Lemak Lobster ini terletak pada resepi tradisional yang digunakan.

“Setiap perincian dalam masakan amat mustahak kerana ia perlu tampil 1,001 rasa aroma yang mampu membangkit selera pengunjung.

“Ditambah pula, seekor lobster yang dibelah dua dibakar panas-panas bersama keju macaroni pastinya cukup terangkat selain kesedapan nasi lemak biru itu sendiri.

“Setiap pengunjung boleh memilih sama ada menikmatinya untuk makan tengah hari atau makan malam,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.\

Keenakan Nasi Lemak Lobster ini menjadi pilihan ramai pelanggan.

Bagi seorang pengunjung, Akmal Rizal yang ditemui berkata, suasana di sini memang cukup santai dan agak romantik bagi pasangan kekasih atau pasangan baru berkahwin.

Menurutnya, hanya dengan sebuah kontena yang direka khas bercirikan ala hipster sudah cukup menarik perhatian pengunjung.

Katanya, gaya hipster tapi menu cukup versatil menjadi antara lokasi tempat makan yang harus dikunjungi selain harga berpatutan.

“Nasi Lemak Lobster ini memang sedap dan lebih menarik jika datang pada sebelah malam sambil menghirup angin pantai,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 018-3938018 atau layari facebook atau Instagram di Projek Nasi Lemak Box.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top