CLOSE
CLOSE

Masih Ada Harapan Untuk Anda Melihat Bunga Matahari Lopburi Pada Pertengahan Januari - Ini Caranya

Hanya mekar pada bulan November - Januari sahaja.


  • Share:

Masih Ada Harapan Untuk Anda Melihat Bunga Matahari Lopburi Pada Pertengahan Januari - Ini Caranya

Ladang bunga matahari yang tular di Thailand sudah lama berada di dalam bucket list saya. Ketika melihat ramai teman-teman menjejakkan kaki ke sana, bergambar bersama bunga matahari sebesar muka membuatkan saya terus mencari tiket kapal terbang ke Bangkok.

 

Tiba hari yang menggembirakan, saya terbang ke Bangkok selama empat hari dan saya akan menghabiskan satu hari untuk ke Lopburi, Thailand.

  Hello Bangkok!

Untuk melihat bunga matahari di Lopburi, anda perlu datang pada bulan November, Disember dan Januari sahaja. Namun ketika saya berada di Bangkok, saya takut kalau bunga matahari hampir layu menjelang penghujung Januari.

 

Ketika di Kuala Lumpur lagi, hampir setiap hari saya mencari #lopburi di Instagram untuk melihat masih ada lagi tak orang lain yang pergi ke ladang bunga matahari pada pertengahan Januari dan sama ada bunga itu masih mekar atau tidak.

  Siam Centre, Bangkok.

Ahad lalu, 13 Januari merupakan hari saya ke Lopburi. Bangun bagi seawal 5.30 pagi, saya dan teman bersiap untuk tiba di stesen keretapi Hua Lamphong, Bangkok pada jam 6.30 pagi.

 

Kami menginap di Silom jadi perjalanan ke stesen Hua Lamphong hanya memakan masa selama 10 minit. Tiba di stesen kereta api jam 6.40 pagi, saya bergegas ke kaunter tiket dan membeli tiket kereta api ke Lopburi jam 7 pagi dengan harga 50 Baht (RM6.40).

  Yeay, Lopburi!

Tiket yang ada hanya untuk kelas 3 dan apa yang membuatkan kami terkejut adalah tertera perkataan 'standee', tiada nombor kerusi dan gerabak berapa.

 

Tiba di platform, kereta api 111 sedia menunggu dan saya mencuba nasib masuk sahaja ke mana-mana gerabak kelas 3. Di dalam, ada beberapa pasangan mat saleh yang sedang meletakkan beg mereka di tempat letak beg dan mencari tempat duduk.

  Train 111, platfrom 10, jam 7 pagi.

Perjalanan masa memakan masa selama 2 jam 40 minit. Dari Hua Lamphong, kereta api tidak terlalu penuh dan tepat jam 7.05, kereta api mula bergerak.

 

Dari Bangkok ke Lopburi, kereta api akan berhenti di lapan stesen jadi anda harus berjaga-jaga agar tidak terlepas stesen.

  Situasi dalam kereta api.

Saya dan teman sedikit lega kerana kami mendapat tempat duduk dan hampir tertidur kerana udara sejuk membelai perjalanan kami. Namun tiba di stesen Bang Khaen, bahu saya mula dicuit oleh seorang wanita tempatan kerana saya sedang duduk di tempatnya.

 

Saya bangun, memohon maaf lalu mencari kerusi lain. Teman saya juga terpaksa berpindah tempat duduk kerana ada seorang lelaki dengan tiket tertera nombor kerusi tiba di situ.

  Teman saya terpaksa berpindah tempat.

Ada kerusi lain yang kosong, kami duduk sementara tiada orang. Saya duduk di hadapan wanita dengan tiga anaknya. Betul, orang Thailand memang peramah dan baik. Biarpun tidak berupaya berbahasa Inggeris, wanita itu tetap cuba berinteraksi dengan saya dan bertanya saya akan turun di mana.

  Wanita bersama tiga anaknya.

Sebelum tiba di Lopburi, kereta api akan berhenti di stesen Ayutthaya. Selain Bangkok, Ayutthaya juga menjadi destinasi pilihan backpackers bercuti. Di sini, memang ramai orang yang turun termasuk pasangan mat saleh jadi, ada banyak tempat kosong untuk anda duduk jika anda terpaksa berdiri sepanjang perjalanan tadi.

  Ramai turun di Ayutthaya.

Tiba di stesen kereta api Lopburi jam 9.45 pagi, anda akan disambut oleh dua, tiga orang lokal yang menanti untuk membawa anda ke ladang bunga matahari. Mereka akan bertanya, sunflower? dan terpulang kepada anda untuk memilih harga yang sesuai.

 

Di sinilah, teknik tawar-menawar anda diperlukan. Ketika saya dan teman bertanya pada seorang pemandu, dia meletakkan harga 700 baht (RM90) untuk perjalanan pergi dan balik. Bila ditawar lagi, harga dikurangkan menjadi 600 baht.

  Stesen kereta api Lopburi.

Gila 600 baht untuk tengok bunga matahari sahaja? Saya ternampak tiga gadis Indonesia yang turut sama tawar-menawar dengan pemandu mereka. Saya pegi ke arah mereka dan bertanya jika boleh saya dan teman ikut trip mereka, pastinya lebih murah. Dengan hanya seorang dikenakan 150 baht (RM19), kami bersetuju dan menaiki trak pikap untuk ke ladang matahari.

 

Sepanjang 30 minit perjalanan ke ladang tersebut, pekan Lopburi sangat tenang. Namun jika anda pergi menjelang hujung Januari, hanya ada satu ladang sahaja yang masih dibuka. Sepatutnya anda akan dibawa ke tiga ladang namun dua ladang lagi, bunga mataharinya sudah layu.

 Besar kan?

Dengan bayaran masuk hanya 20 baht (RM2.50), saya memasuki ladang bunga matahari yang sedang mekar. Ada sebahagian yang sudah mula menunduk dan ada juga yang masih mekar. Ambillah sebanyak masa dan gambar yang anda mahu, tinggal anda sanggup berpanas atau tidak sahaja.

 

Di situ juga ada dijual biji bunga matahari yang boleh anda makan. sepeket dijual dengan harga 30 baht (RM3.80) untuk bekalan dalam kereta api pulang ke Bangkok. Saya bertanya pada pemilik ladang, sampai bila bunga matahari ini akan mekar? Dia berkata bahawa ini sahaja bunga yang tinggal sekarang dan ia bakal layu pada penghujung Januari. Tunggu November 2019 kalau nak tengok lagi, katanya.

 Hanya ada satu sahaja ladang yang mekar pertengahan Januari.

Cantik! Saya tergamam seketika kerana tidak pernah melihat bunga matahari sedekat dan sebanyak ini. Ada sebesar muka dan ada juga yang kecil comel. Awas ketika lalu di celah-celah bunga matahari ini kerana ada sarang semut api yang bakal anda pijak.

 

Puas bergambar, anda boleh meminta pemandu untuk bersiar-siar di bandar Lopburi. Anda juga boleh melawat kuil di kawasan sekitar kerana Lopburi juga ada banyak kuil yang dibuka kepada pelancong.

 20 baht bayaran masuk.

Selesai tour di tengah pekan, kami dihantar semula ke stesen kereta api Lopburi. Saya terus membeli tiket kereta api pulang ke Bangkok pada jam 12.20 tengah hari dengan harga 50 baht (RM6.40). Saya sempat bertanya pada wanita di kaunter tiket tersebut, kenapa tiket ini tiada nombor tempat duduk? Dia ketawa sambil berkata 'no seat, you standing'. Hmm, okay!

 

Masa yang ada, saya sempat ke kedai serbaneka 7 Eleven yang terletak di sebelah stesen dan beli beberapa kudapan dan air mineral. Tandas di stesen kereta api Lopburi juga bersih dan bayaran masuk dikenakan 3 Baht (0.40 sen).

 Menunggu kereta api untuk pulang.

Kereta api pulang ke Bangkok sedikit lewat. Daripada 12.20 tengah hari yang tertera di tiket, kini bertukar jam 12.50 tengah hari. Ada baiknya anda beli kudapan untuk alas perut.

 

Kereta api tiba, saya ingatkan tak ramai orang tapi rupanya penuh! Saya dan teman berdiri hampir satu jam dan apabila kereta api berhenti di stesen Rangsit, ada ramai turun dan akhirnya kami boleh duduk sehingga Bangkok.

  Wajah comel polos si kecil.

Namun, jika anda ternampak orang tua, ibu mengandung, kanak-kanak dan sami, anda perlu berikan kerusi kepada mereka yang diberikan keutamaan ini.

 

Saya tiba di Hua Lamphong hampir jam 2.30 petang. Kenangan bersama bunga matahari menjadi memori indah sebagai pembuka 2019.

  Tetap posing walaupun panas terik.

Jika anda ingin ke sini, pastikan anda beli tiket kapal terbang pada November, Disember dan Januari sahaja untuk melihat mekarnya bunga matahari. Selain daripada tiga bulan ini, pasti anda hampa jika sampai ke Lopburi, bunga matahari layu.

 

Kalau anda sejenis tak tahan panas, sila bawa payung atau topi dan jangan lupa sapu krim penabir suria. Pakaian kena yang selesa dan bawa air ketika berada di sana. Kalau anda mahu mencari tiket penerbangan ataupun hotel di Bangkok, anda boleh semak di Traveloka. Selamat melihat bunga matahari!


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top