CLOSE
CLOSE

[Video] Masih Menunggu Anak Kim Jong-nam Datang

Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tiba di Hospital Kuala Lumpur jam 1.40 pagi tadi.


  • Share:

[Video] Masih Menunggu Anak Kim Jong-nam Datang
Mayat Kim Jong-nam masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur. (Gambar: Getty Images dan Friends of PDRM)

Pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedikit kecoh awal pagi tadi apabila polis menahan pengamal media asing yang 'berkampung' bersama puluhan media yang membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Jurukamera Korean Broadcasting System (KBS) itu ditahan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, Deputi Superintendan M Gunalan selepas empat kenderaan pacuan empat roda polis bersama sepasukan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tiba di situ pada 1.40 pagi tadi. Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Difahamkan, jurukamera KBS itu ditahan kerana dipercayai berada di sekitar IPFN dalam keadaan mencurigakan. Menurut jurucakap KBS, jurukamera itu ditahan setelah didapati tidak membawa dokumen pengenalan diri serta pasport.

"Polis telah membebaskan dia dalam masa setengah jam setelah kami membawa dan menunjukkan segala dokumen yang perlu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Kim Jong-nam ketika berada di KLIA yang disiarkan menerusi Fuji TV, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Sukri ketika dihubungi berkata, kehadiran sepasukan STAFOC bukan kerana membawa anak sulung mendiang Jong-nam iaitu Kim Han-sol, 21, yang dijangka hadir ke IPFN untuk membuat pengecaman mayat dan ujian Deoksiribonukleik Asid (DNA).

Puluhan petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak 5 petang semalam bagi menunggu kehadiran Han-sol yang dijangka hadir ke IPFN untuk melakukan ujian DNA bagi urusan menuntut mayat selain membantu siasatan kes itu namun kelibat beliau tidak kelihatan sehingga awal pagi ini.

Ujian DNA yang akan dibuat oleh Han-sol adalah bagi tujuan pengesahan identiti seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia. Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia pada 13 Februari lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.

- Bernama 


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top