CLOSE
CLOSE

[Video] Jasa 'Atuk' Karl-Heinz Weigang Terus Dikenang Sampai Bila-Bila

Pencapaian terbaik beliau apabila membantu pasukan Kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Munich.


  • Share:

[Video] Jasa 'Atuk' Karl-Heinz Weigang Terus Dikenang Sampai Bila-Bila
Weigang pernah membantu Perak menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 2000. (Gambar: The Bos Gaurus)

Nama Karl-Heinz Weigang bukan calang-calang pada negara ini. Beliau pernah dianggap sebagai legenda jurulatih bola sepak apabila membantu pasukan Kebangsaan melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik Munich pada tahun 1980.

Weigang membantu pasukan negara mengalahkan Korea Selatan 3-0, Brunei 1-1, Indonesia 6-1, Filipina 8-0 serta seri 1-1 dengan Jepun di peringkat kumpulan,. Bagaimanapun, Malaysia memboikot Sukan Olimpik Moscow kerana membantah serangan ke atas bumi Afghanistan.

Kejayaan skuad bola sepak melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu tetap dianggap sebagai pencapaian terbaik negara sehingga diinspirasikan dalam filem Ola Bola.

Beliau yang dilahirkan pada 24 Ogos 1935 di Jerman juga sinonim dengan sejarah bola sepak Perak selepas berjaya mengemudi 'The Bos Gaurus' yang dulu dikenali sebagai skuad Seladang menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 2000.

Sepanjang kariernya dalam arena bola sepak, Weigang dilaporkan pernah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan pencapaian tertinggi dalam arena bola sepak dunia melalui penganugerahan Merit of Gold daripada FIFA pada tahun 1998.

Berdasarkan rekod, beliau pernah mengendali lapan pasukan kebangsaan termasuk Vietnam, Mali, Sri Lanka dan Malaysia sejak berkecimpung dalam sukan bola sepak bermula tahun 1964 hingga 2017.

MENINGGAL DUNIA PADA USIA 82 TAHUN

Semalam, sebilangan besar peminat bola sepak negara ini terutama penyokong Perak dikejutkan dengan berita Weigang yang mereka gelar sebagai 'Atuk' meninggal dunia di negara kelahirannya pada waktu pagi, 13 Jun 2017. Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang memaklumkan Weigang meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Minggu ini merupakan minggu yang menyedihkan buat bola sepak Perak apabila kehilangan dua orang legenda. Selepas kematian bekas pengurus pasukan, Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar Jumaat lalu, Perak kehilangan Weigang akibat serangan jantung di Jerman," katanya dalam satu kenyataan.

Weigang pernah mengendali lapan pasukan Kebangsaan termasuk Vietnam, Mali dan Sri Lanka sejak berkecimpung dalam sukan bola sepak bermula pada tahun 1964 sehingga 2017.

PENGORBANAN TERAKHIR BUAT PERAK

Sebelum legenda jurulatih bola sepak itu meninggal dunia, mendiang sempat mencurah jasa terakhir di negara ini apabila bersetuju membimbing sekali lagi pasukan Perak dalam saingan Liga Malaysia pada 1 Jun 2016. PAFA mengumumkan Weigang dilantik sebagai Ketua Jurulatih dan Pengarah Teknikal Pasukan Bola Sepak Perak menggantikan Syamsul Saad yang ditugaskan membantu beliau sebagai Penolong Jurulatih.

Weigang juga ditugaskan menyelia pasukan Piala Presiden Perak (U21) dan Piala Belia (U19) serta program pembangunan jurulatih mereka. Perak pada waktu itu berada di tangga ke sepuluh Liga Super selepas hanya menang dua daripada 12 perlawanan dan terkeluar di peringkat separuh akhir Piala FA 2016.

Bagaimanapun, jasa terakhir Weigang hanya untuk tempoh sembilan bulan apabila PAFA mengumumkan penamatan kontraknya berkuatkuasa 22 Februari lalu berdasarkan persetujuan bersama atas sebab-sebab tertentu.

Beliau kemudian digantikan bekas Ketua Jurulatih Selangor, Mehmed Durakovic. Hari-hari terakhir Weigang di Malaysia diberi penghormatan hebat oleh penyokong Bos Gaurus dalam satu perlawanan di Stadium Ipoh. Nyata, jasa dan sumbangan Weigang pada Perak dan negara ini akan terus dikenang peminat sampai bila-bila.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top