CLOSE
CLOSE

Masih Ada Peniaga Pasar Mini Culas GST, Kaut Untung Sendiri

Kastam Diraja Malaysia melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara.


  • Share:

Masih Ada Peniaga Pasar Mini Culas GST, Kaut Untung Sendiri
Kastam Pulau Pinang menahan seorang lelaki yang juga pemilik kedai runcit ketika operasi di Relau, Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini. (Gambar: Eiylla Syaharith)

Demi mengejar keuntungan semata-mata, ramai peniaga dan pemilik pasar mini dikesan sanggup mengelak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan.

Sejak dikuatkuasa pada 1 April 2015 masih terdapat peniaga-peniaga termasuk restoran dan pasar mini yang dikesan tidak mengikrar invois bercukai kepada pelanggan yang datang membeli di kedainya. Antara punca dan penyebab kegagalan pembayar cukai adalah disebabkan ingin mengaut keuntungan mudah dengan kenaikan harga barang.

Pembeli atau pengguna akan merasa tertipu apabila berlaku kenaikan harga akibat cukai GST sebanyak enam peratus tetapi sebaliknya tidak diikrarkan walau satu sen.

Amalan 'untung masuk poket' kini yang diamalkan segelintir peniaga dan pemilik pasar mini dan mengecapi keuntungan sejak beberapa tahun lalu kini dilihat bagai cacing kepanasan.

Serbuan dan pemeriksaan dilakukan pegawai penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di seluruh negara kini berjaya membongkar segala tindakan cilik mereka.
 

TIDAK IKRAR PENYATA GST

Merujuk laporan Kastam baru-baru ini mendapati lebih 60,000 daripada 441,000 syarikat yang  berdaftar di bawah GST dikenalpasti tidak mengikrar dan gagal membayar jumlah cukai dengan sempurna.

Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam baru-baru ini pihaknya telah menghantar notis peringatan mesra kepada 21,000 syarikat pada fasa pertama minggu lalu dan akan menghantar notis yang sama kepada 41,000 lagi syarikat bagi fasa kedua dalam minggu ini.

Keengganan mereka membayar cukai GST termasuk tidak pernah membuat sebarang ikrar penyata GST sejak mula berdaftar pada 1 April 2015 mengakibatkan tindakan tegas terpaksa diambil.
 

PENIAGA BERSIKAP DEGIL

Seorang pemilik sebuah pasar mini bersikap berlagak dan keras kepala apabila ditahan Kastam Pulau Pinang selepas gagal menjelaskan GST sejak dua tahun lalu. Operasi yang dijalankan jam 3 petang di Relau, Bayan Lepas baru-baru ini membabitkan sepasukan 10 pegawai penguatkuasa Kastam hasil aduan orang awam sejak seminggu lalu.

Apa yang lebih mengejutkan pelaksanaan cukai bayaran hanya dibuat sekali sahaja oleh pemilik lelaki berusia 40-an pada tahun 2015 dan selepas itu terus 'ghaib' tanpa membuat apa-apa bayaran sehingga ke hari ini. Semasa pemeriksaan dilakukan pihak Kastam, terdapat kesalahan kerana lelaki itu tidak memberi invois bercukai kepada pelanggan yang datang membeli di kedainya.

Akibat sikap penting diri dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata pemilik pasar mini ini dikenakan kompaun serta merta dengan menawarkan notis bernilai RM5,000 tetapi tetap gagal untuk membayar kompaun tersebut.

Hasil siasatan lanjut dan semakan mendapati dia tidak pernah membuat sebarang ikrar penyata GST sejak mula berdaftar pada 1 April 2015. Setiap penyata yang diikrar akan dibuat anggaran jumlah cukai yang perlu dibayar peniaga berkenaan dan semakan hanya RM13,000 dibayar pada tahun 2015.

Selepas itu selama tempoh dua tahun dari tahun 2016 sehingga tahun ini tiada sebarang pembayaran cukai dibuat dan pemeriksaan lanjut mendapati tiga kesalahan dilakukan peniaga berkenaan mengikut Seksyen 33 Subseksyen 22B kerana tidak mengeluarkan invois cukai yang ditetapkan.

Kesalahan turut dilakukan mengikut Seksyen 41(6) dan Seksyen 41(7) kerana tidak Ikrar penyata GST dan pembayaran GST dalam tempoh yang ditetapkan. Pihak Kastam terpaksa menahan pemilik pasar mini itu untuk tindakan lanjut dan beberapa dokumen dan mesin kewangan terpaksa disita untuk siasatan lanjut.

Bagi mengelak tindakan dikenakan semua peniaga mahupun pemilik premis niaga diwajibkan mematuhi arahan yang ditetapkan Kastam berhubung pelaksanaan cukai bayaran.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top