CLOSE
CLOSE

Pencapaian Firdaus Maasar Jadi Sumber Inspirasi Anak Muda Sertai Kelab EPL Terkemuka

Anak tempatan itu kini membuat persediaan latihan pramusim Liverpool FC.


  • Share:

Pencapaian Firdaus Maasar Jadi Sumber Inspirasi Anak Muda Sertai Kelab EPL Terkemuka
Firdaus kini berkhidmat sebagai ahli sains sukan yang membantu persediaan untuk latihan pramusim Liverpool FC kali ini. (Gambar: Firdaus Maasar - Facebook)

Tidak ramai yang faham kepentingan ahli sains sukan dalam sebuah pasukan bola sepak yang sebenarnya banyak membantu pemain meningkatkan kecergasan sebelum dapat beraksi dengan sebaik mungkin ketika menghadapi sebarang pelawanan bola sepak.

Seperti mana kelab bola sepak di luar negara yang sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk aspek kecergasan pada pemain mereka, kelab bola sepak tempatan juga boleh memberi fokus pada aspek sama sebagai elemen penting bukan saja pada pemain tetapi faktor pada kejayaan pasukan meraih sebarang kejuaraan.
 

ANAK TEMPATAN BANTU PASUKAN EPL

Kancah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal membuka tirainya dalam tempoh lebih kurang sebulan saja lagi. Sudah pasti jutaan peminat bola sepak di serata dunia termasuk di Malaysia berasa teruja menantikan musim baru ini bermula.

Namun, tahukah anda dua pasukan pada saingan musim ini iaitu Liverpool FC dan Huddersfield Town FC mendapat bantuan seorang anak muda kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi membantu meningkatkan tahap kecergasaan pemain kedua pasukan itu.

Anak tempatan, Firdaus Maasar, 31, sebelum ini pernah mencuri perhatian ramai peminat bola sepak tempatan apabila dia menjadi sebahagian daripada pasukan yang menyedia khidmat kepada jabatan sains sukan pasukan Liverpool FC dan pasukan-pasukan lain di England termasuk Huddersfield.

Bekas jurulatih kecergasaan pasukan bawah 21 tahun Sime Darby ini merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi di Liverpool John Moores University.

“Insha Allah saya habis belajar pada tahun 2018/2019 nanti. Saya pernah berkhidmat dengan pasukan bawah 21 tahun Wolverhampton Wanderers FC pada musim 2014/2015 sebagai penolong pegawai sains sukan,” katanya menerusi Facebook, Kelab Peminat Liverpool (Malaysia) pada tahun lalu.

Firdaus pernah mengetuai pegurusan profil pemain kelab Huddersfield pada musim lepas. Dia melakukan penilaian terhadap tindak balas laktat dan pengambilan oksigen secara maksimum bagi para pemain kelab tersebut.

Antara tugasan lain yang dilakukannya di sana adalah berkerjasama dengan petugas kelab dalam menyusun jadual, melatih pelajar sains sukan dalam pengambilan data, melakukan ujian fisiologi dan menyediakan analisis data secara terperinci.

Usahanya itu nampaknya berhasil setelah pasukan yang bermain di liga bawahan selama 45 tahun itu berjaya melayakkan diri untuk saingan EPL pada musim ini. Mereka berjaya mengatasi pasukan Reading 4-3 melalui penentuan sepakan penalti pada perlawanan playoff akhir musim.

Firdaus adalah penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi di Liverpool John Moores University

KEJUARAAN PERTAMA LIVERPOOL SEJAK 1990?

Firdaus yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu menyatakan dia kini sedang membuat persediaan untuk latihan pramusim Liverpool FC.

Dia menjadi salah seorang petugas dalam mengendalikan latihan kecergasan di kelab tersebut sejak tahun 2015 lagi sebagai sebahagian daripada program pengajiannya di universiti.

“Pada masa ini pemain Liverpool masih bercuti dan saya akan menjalankan penilaian kecergasan pemain akademi dan skuad utama apabila mereka melaporkan diri nanti. Saya juga akan menyediakan analisis kecergasan mereka untuk digunakan jurulatih bagi merancang sesi latihan,” ujarnya kepada Utusan Online.

Semenjak kehadiran jurulatih Jerman, Jurgen Klopp ke kelab yang berpangkalan di Stadium Anfield itu, kecergasaan yang tinggi sememangnya dijadikan sandaran pasukan berkenaan. Pasukan-pasukan yang dikendalikan Klopp sememangnya sudah dikenali dengan mempamerkan tempo dan intensiti yang tinggi.

Mereka mengamalkan permainan menekan sebaik sahaja pasukan lawan mendapat bola. Faktor ini juga yang diharap dapat membantu Liverpool mengakhiri penantian mereka selama 27 tahun untuk bergelar juara bola sepak Inggeris.

Bagaimanapun, apa yang menarik dikongsi Firdaus menerusi Facebook akaunnya pada tahun 2015, dia memuat naik gambarnya memakai jersi pasukan seteru kuat Liverpool iaitu Manchester United. Agak ironik bukan, seandainya Firdaus seorang peminat Manchester United tetapi berjaya membantu Liverpool muncul juara?


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top