CLOSE
CLOSE

Selepas Cipta Nama Di Birmingham, Mungkin Wanita Melayu Ini Boleh Bawa Malaysia Ke Piala Dunia?

Idlan Rabihah Zakariah diberi kepercayaan mengendalikan pasukan bola sepak di Bournville Warriors (BW).


  • Share:

Selepas Cipta Nama Di Birmingham, Mungkin Wanita Melayu Ini Boleh Bawa Malaysia Ke Piala Dunia?
Di mana saja, ramai yang gemar bermain bola sepak mahupun menjadi peminat sukan popular dunia ini yang dianggarkan mencecah 4 billion manusia meminati bola sepak.

Namun, masih ramai beranggapan bola sepak adalah sukan yang eksklusif buat kaum lelaki. Walaupun kita sudah berada pada abad ke-21, kaum lelaki masih lagi curiga sama ada wanita mengetahui peraturan 'offside' dan sebagainya berkait dengan sukan ini.

Sikap prejudis terhadap kaum wanita dalam arena bola sepak memuncak ketika kontroversi Sian Massey-Ellis pada tahun 2011. Dua pengulas Sky Sports TV, Andy Gray dan Richard Keys dilucutkan jawatan setelah bersikap seksisme (diskriminasi terhadap jantina) terhadap Massey-Ellis yang menjadi pembantu pengadil bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Wolverhampton Wonderers.


KEBANGKITAN WANITA

Di sebalik kesukaran untuk menembusi monopoli kaum lelaki di dalam sukan bola sepak, terdapat perkembangan positif yang mungkin menjadi pemangkin perubahan pada masa hadapan. Beberapa orang jurulatih wanita sebenarnya telah medapat kepercayaan mengendalikan skuad bola sepak lelaki antaranya Helena Costa dan Corinne Diacre berkhidmat di Liga Divsyen Dua Perancis dan Shelley Kerr di Scotland.

Paling membanggakan ialah Chan Yuen Ting, berusia 28 tahun membimbing skuad bola sepak professional lelaki, Eastern Sports Club (Eastern) muncul johan Liga Perdana Hong Kong. Malah, pada awal tahun ini, dia secara rasmi menjadi jurulatih wanita pertama di dunia yang membimbing sebuah pasukan bola sepak lelaki pada kejohanan peringkat tertinggi benua.

Kejayaan itu dicapai apabila pasukan Eastern bertemu kelab dari China, Guangzhoe Evergrande pada kejohanan 'AFC Champions League'. Sebagai perbandingan, pasukan jaguh tempatan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) juga bertarung dalam kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, hampir 10,000 kilometer dari Yuen Ting dan pasukan Eastern, tidak ramai yang tahu ada seorang wanita Melayu yang bertudung sedang gigih memulakan kerjaya kejurulatihannya di Birmingham, England.


DARI KAJANG KE BIRMINGHAM

Idlan Rabihah Zakaria seorang rakyat Malaysia yang sedang bertugas sebagai ahli akademik dalam bidang perakaunan dan kewangan di sebuah universiti di Birmingham, England. Dia yang membesar di Kajang, Selangor meminati sukan bola sepak sama ada menonton mahupun bermain sukan itu sejak dari usia kanak-kanak.

“Saya sering mengikuti bapa saudara saya bermain bola sepak bersama kawan-kawannya,” cerita Idlan secara eksklusif kepada Rojak Daily Skop!.

“Tidak ada memori khusus yang buat saya jatuh cinta dengan bola sepak tetapi memori bola sepak terawal saya ialah Piala Dunia 1982, di mana kami menonton perlawanan akhir menerusi televisyen jenama Singer hitam putih, dan nama Dino Zoff banyak diperkatakan. Saya masih belum bersekolah tadika pun ketika itu,” tambahnya lagi.

Bandar Birmingham mempunyai tiga kelab bolasepak berprestij iaitu Aston Villa, Birmingham City dan West Bromwich Albion (WBA). Atas sebab Idlan kini menetap di bandar tersebut, dia telah menjadikan WBA sebagai ‘pasukan angkatnya’. Dia kerap mengunjungi gelanggang pasukan tersebut iaitu The Hawthrons Stadium bagi menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris. Pasukan yang disokongnya sejak sekian lama pula adalah pasukan gergasi Eropah, Manchester United.

Idlan ketika ini adalah antara jurulatih yang ditugaskan membimbing pasukan kanak-kanak perempuan Bournville Warriors (BW). Pasukan ini menekan aspek pembangunan dalam menyediakan asas kemahiran bola sepak.

“Matlamat kami ialah untuk mengalakkan kanak-kanak perempuan melibatkan diri dengan bola sepak dalam suasana yang selamat dan menyeronokkan. Memang ada pasukan kanak-kanak lelaki tetapi kami cuba memenuhi kehendak pemain perempuan yang tidak mahu bermain campuran pada waktu ini.

“Tugasan saya secara amnya adalah menjalankan latihan yang menerapkan kemahiran-kemahiran asas seperti mengawal bola dengan baik dan menendang bola dengan cara betul tetapi bukan secara latihan yang berulang-ulang . Sebaliknya, kami perlu kreatif dan menciptakan permainan yang menerapkan kemahiran-kemahiran ini secara tidak langsung,” jelasnya.

Idlan berkongsi pengalaman dengan jurulatih lain untuk mendalami aspek kejurulatihan.

MENIMBA PENGALAMAN BERHARGA

Idlan terjebak ke dalam dunia kejurulatihan secara tidak sengaja. Pengerusi BW merupakan rakan sekerja Idlan di Universiti telah meminta pertolongan Idlan untuk melatih pasukan kanak-kanak wanita BW. 

Setelah Idlan memberitahu bahawa dia tidak tahu apa-apa tentang kejurulatihan, rakannya itu menjawab: “Oh, itu tidak mengapa. Kelab boleh menghantar kamu berkursus dan kamu boleh dapatkan tauliah FA (Persatuan Bolasepak England). Yang penting kamu berminat dan ada kemahuan”.

Kebanyakan jurulatih di BW merupakan sukarelawan dan sebagai balasan kepada pertolongan mereka itu, pihak kelab membayar dan menganjurkan kursus kejurulatihan FA untuk mereka. Apabila tiba giliran Idlan untuk menghadiri kursus tersebut, dia merupkan wanita tunggal antara 12 peserta yang mempunyai latar belakang berbeza.

“Ada yang memang pernah bermain bola sepak sehingga ke peringkat separuh profesional sebelum kecederaan melanda. Ada yang sekadar menurut perintah isteri untuk pergi melatih anak-anak bermain bola. Ada juga yang gaya seperti pakcik-pakcik berseluar Elba berbaju John Master tetapi jangan pandang enteng pada mereka ini kerana pengalaman mereka sangat luas,” ujarnya.  

Selagi pemain belum mencapai usia 18 tahun, mereka diangap sebagai bawah umur dan mengambil kira faktor tersebut itu, komponen ‘melindungi kanak-kanak’ diterapkan ke dalam latihan kejurulatihan tersebut.

“Kami diingatkan sebagai seorang jurulatih, kami berada dalam posisi kuasa tidak berbeza seperti kami guru atau penjaga kepada kanak-kanak ini. Ini bermakna kami mampu memanipulasi perasaan dan perlakuan kanak-kanak ini.

“Walaupun 99.9 peratus mereka yang bekerja dengan kanak-kanak tidak ada niat untuk memanipulasi atau menyakiti kanak-kanak secara emosi atau fizikal, kadang-kadang perkara ini dilakukan tanpa sedar dan kami perlu peka kepada apa yang kami lakukan agar tidak menjadi isu atau masalah pada kemudian hari,” katanya.

Betapa penting pelindungan terhadap kanak-kanak, Idlan hanya berjumpa dengan kanak-kanak untuk tempoh beberapa jam sahaja sebulan dan perlu menjalani kursus khas untuk memastikan kebajikan kanak-kanak tidak terabai.

Tidak cukup dengan itu, kesemua jurulatih perlu menjalani pemeriksaan jenayah menyeluruh untuk memastikan mereka sesuai berkerja dengan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.


HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI

Mengikuti perkembangan bola sepak tempatan dari jauh, Idlan juga meluangkan masa menonton perlawanan berskala besar seperti perlawanan akhir Piala Malaysia atau Sukan SEA menerusi siaran ‘streaming’ di Internet. 

Baginya, usaha untuk memajukan bola sepak tempatan bukanlah sesuatu tugas yang mudah tetapi topik tersebut mampu menjadi tesis buat dirinya sendiri.

“Begitu banyak idea yang diketengahkan pelbagai pihak dan semua orang seperti ada idea mereka sendiri. Bagi saya, NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) merupakan satu langkah ke arah positif tetapi kita kena ingat, ia adalah projek jangka panjang dan kita tidak boleh gelabah kalau hasil tidak kelihatan serta merta.

“Struktur bola sepak akar umbi perlu dibangunkan dan bola sepak tidak perlu menjadi milik khas beberapa pihak sebaliknya ia perlu menjadi sukan milik semua. Mungkin juga kita kena olah sistem MSSM dan sekolah sukan sedikit sebanyak supaya pencarian bakat boleh dilakukan secara berterusan tanpa perlu projek-projek besar yang memakan belanja banyak seperti MyTeam atau Mencari Ramli.

“Sebaliknya, struktur akar umbi yang kukuh boleh 'istiqamah' melahirkan pemain berbakat dan sokongan berterusan dalam memupuk bakat pemain secara fizikal, emosi dan akademik.

“Kadang-kadang saya rasa kita agak ghairah mahu menggunakan pasukan di Eropah sebagai ukuran sedangkan di Asia kita sendiri ada liga-liga yang begitu berkualiti di mana cara bermain lebih sesuai dengan fizikal kita sebagai orang Asia," katanya.

Idlan dihantar mengikuti kursus untuk mendapat tauliah FA (Persatuan Bolasepak England).

JADI 'HERO' DALAM SUKAN LELAKI

Idlan mengakui bahawa tanggapan masyarakat terhadap permainan bola sepak adalah ianya merupakan sukan yang eksklusif untuk lelaki, sebagaimana juga bola jaring dianggap eksklusif buat wanita.

“Saya pun tidak tahu dari mana datangnya pemikiran ini dan sudah tentu isu keganasan atau ‘contact sport’ tidak timbul kerana begitu banyak lagi sukan lain yang sama kasar mempunyai pasukan lelaki dan perempuan seperti hoki padang.

“Percayalah, kecederaan yang saya terima di hujung kayu hoki ketika sekolah dulu jauh lebih parah dari apa-apa kecederaan yang saya pernah terima bermain bola sepak," katanya.

Idlan juga mendedahkan bahawa dia pernah menjadi jurulatih kepada pasukan bawah 10 tahun lelaki tetapi tidak menghadapi sebarang masalah kerana sikap kanak-kanak pada usia tersebut yang belum prejudis terhadap penglibatan wanita dalam bola sepak.


SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT SETEMPAT

“Kalau angan-angan kosong, saya mahu bawa Malaysia ke Piala Dunia! Tetapi secara realistiknya, saya tidak bercadang menempa nama atau karier dalam bidang kejurulatihan buat masa ini.

“Saya sudah ada kerjaya yang saya begitu suka sebagai ahli akademik. Namun, bidang kejurulatihan ini adalah cara menyumbang kepada masyarakat di mana saya tinggal. Buat masa ini di UK tetapi kalau ada rezeki pada masa hadapan di Malaysia kerana saya percaya gaya hidup yang aktif adalah penting untuk semua.

“Jadi, jika bola sepak adalah cara untuk orang lebih aktif, saya sedia berkongsi ilmu untuk membantu mereka mendapatkan yang terbaik dalam bola sepak. Saya ambil pentauliahan kerana untuk saya memberi ilmu kepada orang lain, saya perlu terlebih dahulu mempunyai ilmu itu” ujarnya mengakhiri perbualan.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top