CLOSE
CLOSE

"Jika Kamu Boleh Kalahkan Pelumba Akademi, Saya Ambil Kamu Sebagai Pelumba F1"

Pengarah Akademi Renault Sport Racing, Mia Sharizman berkongsi cara menjadi pelumba Formula 1.


  • Share:


Mia menyatakan seorang individu itu boleh mengasah bakat dan menunjukkan prestasi menerusi pertandingan go-kart sebelum menyertai Formula 1. (Gambar: Rojak Daily Skop!)
Bagaikan hari bersejarah untuk dikenang seumur hidup apabila penganjuran Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berakhir semalam. 

Sepertimana kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, SIC akan dimanfaat sepenuhnya selepas ini dan tidak akan jadi projek gajah putih. Malah, penganjuran selama 19 tahun di sini berjaya meletakkan Malaysia dalam peta dunia.

Namun, apa yang boleh kita belajar di sebalik kemegahan F1 berlangsung di negara ini dan Malaysia sebagai tuan rumah? Jika kita pernah mempunyai angkasawan pertama dan pelumba F1 pertama sebelum ini, apakah langkah Malaysia seterusnya untuk mencipta kejayaan dan sejarah baru dalam sukan ini?


SIAPA 'HERO' KEBANGGAAN MALAYSIA?

Nama Mia Sharizman Ismail mungkin agak asing pada rakyat Malaysia dan tidaklah sepopular Alex Yoong tetapi pencapaian beliau dalam industri permotoran sukan negara menjadi penanda aras sebagai rakyat Malaysia pertama berkhidmat dengan antara pasukan F1 terbaik dunia.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan juga Pengurus Besar, Caterham Group ini mempunyai pengalaman luas bukan saja dalam aspek penganjuran acara besar seperti F1 tetapi bertanggungjawab melatih bakal pelumba F1 di peringkat antarabangsa.

"Mereka (majikan) tidak ambil peduli soal warganegara asalkan anda dapat berikan kerja yang terbaik," katanya dalam temubual eksklusif bersama Rojak Daily Skop! di SIC, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang kini menjadi Pengarah Akademi Renault Sport Racing di Enstone, Oxfordshire, England turut berbangga menjadi sebahagian daripada kru pasukan Renault yang kembali menyertai F1 sejak tahun lalu. Menariknya, dia kini bertanggungjawab mengetuai akademi tersebut yang melatih bakal pelumba F1.

"Skop kerja saya adalah melatih pelumba dari usia 14 sehingga 15 tahun untuk menjadi pelumba F1 dalam tempoh 3 sehingga 5 tahun iaitu pada usia 20 dan 21 tahun. Buat masa ini, ada tujuh pelumba di bawah saya, paling muda berusia 16 tahun manakala paling senior, 22 tahun dan mereka bersaing dalam kategori F2, F3 dan F4.

"Mereka melalui pelbagai jenis latihan seperti fizikal, mental dan perlumbaan sebelum saya tengok pasukan mana yang sesuai untuk mereka. Malah, saya juga perlu berurusan dengan ibu bapa mereka sama seperti akademi bola sepak," katanya.

Pasukan Renault kembali beraksi dalam Formula 1 sejak tahun lalu.


APA YANG BOLEH KITA BELAJAR DARI F1 MALAYSIA?

Mia mengakui ada pelumba tempatan mempunyai keinginan berlumba di Eropah meminta bantuannya tetapi persoalannya, mengapa pelumba di luar negara lebih hebat dari aspek prestasi jika dibandingkan dengan pelumba tempatan.

"Mereka (pelumba luar negara) mula berlatih lebih awal. Dari aspek fizikal tiada beza kerana dalam kereta lumba, soal pendek, panjang, tua atau muda tidak kisah tetapi bakat perlu dilatih sejak kecil dari awal usia 4 sehingga 5 tahun, itu bezanya.

"Bagi saya, tiada orang lahir sudah berbakat tapi mereka kena dilatih dari usia muda dan ibu bapa juga penting dalam memberikan sokongan. Kita sendiri mengambil pelumba dari usia 14 sehingga 16 tahun, bukan dah lambat tapi seperti akademi bola sepak ada peringkat usia 8,9 dan 10 tahun," katanya.

Tambahnya, peraturan sebelum ini menetapkan perlumbaan 'single seater' hanya boleh dari usia 15 tahun bermakna bakat di bawah usia tersebut boleh cuba berlumba menerusi pertandingan go-kart iaitu dari usia 7 sehingga 15 tahun.

"Selain daripada bakat, faktor dedikasi pelumba juga berbeza. Walaupun ada ibu bapa yang tidak berkemampuan atau kaya, kita mencari pelumba yang matang dari 3 sehingga 5 tahun lebih daripada usianya.

"Matang dari aspek cara dia bercakap, mendengar, sikap dan belajar. Kita boleh bandingkan cara mereka bercakap dan mereka harus faham sukan ini bukan berlumba secara suka-suka," katanya.

Mia (kanan) bersama rakan sekerja, Fleur yang terbabit sama dalam pasukan Renault ketika kejohanan F1 di Sepang, baru-baru ini.


TAKKAN TAK BOLEH TOLONG?

Bagi mereka yang mempunyai impian mahu menjadi pelumba F1, Mia berprinsip tiada halangan untuk seseorang itu mengapai impian tersebut. 

"Saya percaya sesiapa saja boleh lakukannya tetapi keadaan di Malaysia tidak mengizinkan. Perlumbaan di Asia adalah kecil dan pelumba perlu pergi ke Eropah, berkorban masa dengan keluarga seperti mereka yang mahu masuk sukan Olimpik perlu berlatih di Amerika Syarikat, bidang permotoran juga memerlukan pelumba berlatih di Eropah.

"Apapun, bidang permotoran sememangnya perlukan wang. Pasukan F1 cuma boleh tengok dari usia 14, 15 tahun tetapi 'never say never'.

"Kerajaan kita sendiri sudah mencuba sedaya upaya untuk membantu pelumba negara ke peringkat Eropah tetapi ia bukan suatu yang mudah dan tidak mustahil," katanya.

Akuinya, individu yang mahu menjadi pelumba F1 perlu mempunyai faktor kewangan yang kukuh untuk berlatih di peringkat awal pada usia muda. Apabila sudah dewasa jika prestasi bagus, pasukan F1 akan mencari dan kerajaan juga akan membantu.
 
Jika mahu jadi pelumba F1, Mia mengatakan seseorang itu perlu mempunyai bajet antara $50,000 sehingga $100,000 Euro setahun untuk latihan di peringkat usia 10 tahun manakala untuk sampai ke peringkat pelumba pasukan Renault seperti Jolyon Palmer dan Sergey Sirotkin memerlukan perbelanjaan sebanyak $1.5 juta Euro.

Renault fokus dalam melatih bakal pelumba F1 menerusi penubuhan Akademi Renault Sport Racing sejak tahun lalu.


TIADA BAJET MACAMANA?

Sebagai saranan, Mia menyatakan seseorang individu itu boleh mengasah bakat dan menunjukkan prestasi menerusi pertandingan go-kart. Jika menang, ia boleh menarik perhatian pasukan Formula 1 dan mungkin terpilih sebagai bakal pelatih di akademi Renault Sport Racing. 

"Sangat penting untuk anda masuk pertandingan seperti go-kart dan apabila menang, ia boleh tarik perhatian orang lain. Saya pun tak tahu jika ada pelumba go-kart yang bagus selagi dia tidak masuk pertandingan dan menang.

"Sama ada saya bersama Renault atau tidak, saya tetap bantu dari aspek pembangunan pelumba F1 di Malaysia. Sebenarnya, dalam tempoh dua sehingga tiga tahun dulu, kita ada melatih pelumba tempatan untuk ke peringkat F1 tetapi ia bukan peringkat mereka.

"Cara saya mudah, jika kamu dapat mengatasi pelumba akademi saya, saya akan ambil kamu sebagai pelumba," katanya.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top