CLOSE
CLOSE

Selamat Tinggal Wang Tunai! Malaysia Bila Lagi?

Penggunaan transaksi tanpa tunai semakin meluas di seluruh dunia.


  • Share:

Selamat Tinggal Wang Tunai! Malaysia Bila Lagi?
Perkembangan bidang digital semakin mempengaruhi kehidupan manusia yang selesa menggunakan transaksi bayaran tanpa tunai di mana saja. (Gambar: digitaljournal.com)
Penggunaan telefon pintar yang semakin meluas telah mengubah gaya kehidupan seharian kita sebagai manusia. Peranti canggih tersebut mempengaruhi cara kita berkomunikasi, menerima dan menyebarkan maklumat, berhibur, melakukan kerja termasuk cara kita membelanjakan wang.

Ketika ini, semakin banyak negara mula mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan mata wang tunai seperti duit kertas dan syiling.

Kewujudan dan penggunaan wang tunai sebenarnya mempunyai kos pengurusan yang tinggi. Sebagai contoh, Ia perlu dikira dan disimpan oleh peniaga dan selepas itu perlu dipindahkan ke dalam akaun bank.

Penggunaan konsep 'cashless' iaitu transaksi tanpa wang tunai pula menjadikan operasi perniagaan lebih mudah diurus di samping menjimatkan masa dan kos. Oleh sebab itu, transaksi secara kad debit, perbankan mudah alih menggunakan telefon pintar, perkhidmatan seperti Touch ‘n Go dan seumpamanya menjadi keutamaan pada masa kini.

Tindakan Sweden menggunakan konsep tanpa tunai berjaya mengurangkan kadar kes rompakan bank di negara itu.

ERA DUNIA BARU SERBA DIGITAL

Di Semenanjug Scandinavia, Sweden adalah antara negara peneraju utama konsep 'cashless' dan pembayaran secara elektronik. Malah, penggunaan wang tunai di sini sudah berkurangan ke tahap tiga peratus sahaja.

Ini turut meninggalkan kesan positif terhadap negara tersebut antaranya angka rompakan bank berkurangan daripada 110 kes pada tahun 2008 kepada hanya 16 rompakan pada tahun 2011. Ini adalah lantaran daripada kebanyakan bank di Sweden tidak lagi menyimpan wang tunai di premis mereka.

Norway juga sama seperti Sweden maju kehadapan dengan mengamalkan konsep 'cashless'. Di sini, makanan di tepi jalan dan surat khabar juga boleh dibeli secara perbankan mudah alih. Tidak cukup dengan itu, beberapa buah bank di Norway sudah berhenti daripada mengedarkan wang tunai kepada orang ramai.

Di Belgium pula, sebanyak 93 peratus penduduknya sudah memilih untuk melakukan transaksi tanpa tunai. Angka tinggi tersebut dapat dicapai apabila kerajaan Belgium mengenakan had pembayaran wang tunai sebanyak 3,000 Euro (RM14,922) sahaja. Kebanyakan transaksi elektronik di sini menggunakan aplikasi mudah alih, Sixdots di samping juga penggunaan kad debit.

Jika kita tinjau keadaan di Denmark, kita akan mendapati bahawa satu per tiga daripada penduduknya menggunakan aplikasi telefon pintar seperti MobilePay untuk melakukan aktiviti jual beli. Ia tidak terhad kepada itu sahaja. Undang-undang negara tersebut membolehkan perniagaan seperti restoran, gedung pakaian dan stesen petrol untuk tidak membenarkan pelanggan mereka membayar menggunakan wang tunai.

Malah, kerajaan Denmark meletakkan tahun 2030 sebagai sasaran penghapusan terus wang tunai.
Penggunaan konsep tanpa tunai ini tidak terhad kepada negara barat yang maju sahaja.

Di Kenya misalnya, sudah ada 15 juta pelanggan M-Pesa, iaitu sebuah aplikasi telefon pintar bagi melakukan transaksi wang. M-Pesa digunakan penduduk Kenya untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk menghantar wang ke kawasan pendalaman dan pembayaran pelbagai bil utiliti dan yuran sekolah.

Negara jiran, Singapura juga sudah meletakkan sasaran enam bulan bagi mengaplikasikan konsep pembayaran elektronik secara meluas. Ketika membuat ucapan sempena Hari Kemerdekaan negara tersebut, Perdana Menterinya, Lee Hsein Loong menyatakan kekesalannya terhadap kelewatan Singapura mengamalkan konsep tanpa tunai. Ini ditambah pula dengan hakikat Singapura mempunyai peratusan penduduk yang tertinggi di dunia bagi kategori pemilikan telefon pintar.

Sweden dan Norway antara dua negara yang menggunakan konsep tanpa tunai secara meluas dalam kalangan masyarakat mereka.

BAGAIMANA PULA MALAYSIA?

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam usahanya untuk berubah kepada sistem ekonomi yang berteraskan pembayaran elektronik. Impian ini diharap dapat dijelmakan melalui Financial Sector Blueprint 2011-2020 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sistem pembayaran secara electronik merupakan antara sembilan agenda di bawah pelan tersebut. Menjelang tahun 2020, BNM menyasarkan sebanyak 200 transaksi pembayaran elektronik per kapita, 30 transaksi kad debit per kapita dan pengurangan penggunaan cek kepada hanya 100 juta setahun.

Yeah Kim Leng, seorang professor di Sunway University Business School pula berpendapat Malaysia mampu menjadi satu masyarakat yang berasaskan konsep transaksi tanpa tunai dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Perubahan ini tidak boleh dielakkan lagi kerana kawasan pendalaman semakin berkurangan dan semakin banyak syarikat yang menawarkan kemudahan pembayaran elektronik,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Katanya, hampir 70 peratus penduduk Malaysia sudahpun tinggal di kawasan bandar dan majoriti penduduk di kawasan seperti ini sudah selesa melakukan transaksi mudah alih berbanding menggunakan wang tunai.

“Masih terdapat kebimbangan mengenai keselamatan siber tetapi pembayaran mudah alih secara perlahan-lahan mendapat tempat kerana orang ramai berasa selamat berbanding kaedah pembayaran yang lain,” tambahnya lagi.

Beliau juga mengatakan golongan berumur juga sudah menyedari kelebihan pembayaran elektronik berbanding pembayaran yang melibatkan wang tunai.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top