CLOSE
CLOSE

Mengapa Mahasiswa Menjadi Sasaran?

Terpengaruh dengan keuntungan berlipat kali, mahasiswa gelap mata dan terjebak dalam MLM.


  • Share:

Mengapa Mahasiswa Menjadi Sasaran?
Mengapa golongan ini menjadi sasaran? (theodysseyonline.com)

Siapa yang tidak mahu pelaburan dalam perniagaan membawa pulangan lumayan sehingga lima angka. Lebih-lebih lagi pada zaman krisis ekonomi dengan peningkatan harga barangan serta perkhidmatan dan penurunan harga eksport komoditi. Bukan sahaja golongan bekerja, mahasiswa turut terasa dengan krisis ini. Tidak hairanlah apabila dilaporkan mahasiswa terpaksa ikat perut, menjual baucer buku dan terbaru cedera ketika melakukan kerja sambilan demi membantu meringankan bebanan keluarga. Pada waktu terdesak ini, kehadiran skim piramid atau lebih dikenali sebagai MLM (Multilevel Marketing) ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Mereka sanggup melaburkan duit pinjaman, meminjam daripada rakan dan pensyarah, dan lebih teruk menipu demi mendapatkan modal bagi melayakkan mereka bergelar ahli dan ‘naik pangkat’ dengan cepat.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Sistem MLM

MLM merupakan sebahagian daripada pelan pemasaran jualan langsung. Melalui pelan ini, syarikat akan melantik individu untuk mengedar barang, dan individu tersebut akan melantik rangkaian individu lain (downline) untuk menjual barangan syarikat. Setiap ahli akan mendapat komisen daripada jualan. Semakin besar jaringan downline, semakin cepat seseorang individu itu dinaikkan pangkat dan memperoleh keuntungan. Ramai yang mudah terpengaruh dengan kisah kejayaan upline sehingga sanggup melakukan apa sahaja mendapatkan jalan pintas untuk jadi seperti mereka. Tidak hairanlah Malaysia mampu menjadi salah satu daripada negara dengan pasaran MLM terbesar di Asia dengan keuntungan mencapai RM8 bilion menjelang tahun 2020.

Gambar: www.davidmspina.com

Sah Di Sisi Undang-Undang?

MLM perlu didaftarkan dengan Persatuan Jualan Langsung Malaysia untuk menjadikannya sah. Syarikat yang sah tidak memaksa mana-mana individu membeli atau menyimpan sebarang produk. Jauhi syarikat yang meminta anda membayar jumlah tertentu untuk menjadi ahli. Tidak semua syarikat MLM menjalankan aktiviti tidak sah, produk yang tidak bagus dan menipu tetapi perniagaan MLM ini diburukkan oleh individu dalam komuniti tersebut yang terlalu taksud mengejar pangkat sehingga sanggup menggunakan pelbagai cara dan teknik pemasaran yang jauh menyimpang daripada matlamat sebenar MLM. Malah diakui sesetengah produk mereka agak baik dan berkesan untuk menjaga kesihatan walau harga yang ditawarkan tinggi.

Gambar: bisnis-mlm-4life-jepara.4life-indonesia.net

Mengapa Mahasiswa?

Gambar: Facebook

Kami tertarik dengan status yang dimuat naik di Facebook Pseudoscience Watch tentang MLM di Pusat Pengajian Islam Universiti Tempatan. Mereka mensasarkan golongan mahasiswa yang rata-ratanya mendapatkan bantuan kewangan PTPTN, JPA dan MARA. Keadaan semakin meruncing apabila pelajar sanggup menipu pensyarah untuk meminjam wang puluhan ribu ringgit. Begitu juga dengan tindakan sebahagian daripada mereka yang meminjam wang dengan pelajar lain dan menanggung hutang yang tidak mampu dibayar.

Gambar: Facebook/Pseudoscience Watch

Kes di Universiti

Universiti sepatutnya dijadikan medan menuntut ilmu, bukannya terlibat dengan perniagaan MLM yang merugikan. Jika niat ingin membantu keluarga, pastikan sumber dan jenis perniagaan atau pekerjaan yang ingin dilakukan terlebih dahulu. Usah mudah menjadi mangsa, kelak ibubapa kecewa.

Erin (bukan nama sebenar): "Kes meminjam duit rakan untuk menyertai MLM bukan perkara baru. Saya pernah menjadi mangsa rakan yang meminjam wang berjumlah RM1,000 dan berjanji akan membayarnya pada semester akan datang. Namun sehingga kini walaupun telah 10 tahun berlalu, hutang saya masih belum dilangsaikan. Malah, saya turut dimaki dan dihina setiap kali meminta rakan tersebut membayar hutang saya."

Liz (bukan nama sebenar): "Saya diajak ke pejabat MLM yang terletak di KLCC oleh rakan sekuliah ketika berada di semester akhir. Rakan yang saya kenali sebagai F terlalu baik, sepanjang berada di KLCC saya dibelanja makan dan dia berjanji membantu saya mencari modal RM2,500. Walaupun berjaya mengumpulkan wang yang diminta, saya mula terdetik betapa mereka yang saya temui di KLCC hanya berpura-pura dan akhirnya saya mengambil keputusan menarik diri."

Nurul (bukan nama sebenar): "Saya didatangi oleh rakan lama dengan alasan rindu dan ingin merapatkan silaturrahim. Dia sering berkunjung ke rumah, tidur di rumah dan tidak segan silu bertegur sapa dengan ahli keluarga. Satu hari saya dibawa ke KLCC dengan alasan untuk menonton wayang. Setelah tamat menonton, dia membawa saya ke sebuah restoran dan di sanalah secara tidak sengaja kami bertemu rakan-rakannya. Keesokan harinya dia sekali lagi mengajak saya menemaninya menghadiri jamuan yang menurutnya telah dibayar olehnya. Sejak itu, setiap hari saya dipasak untuk mengikutinya ke pelbagai aktiviti malam sehinggalah saya terpedaya membayar RM1,700 sebagai modal keahlian. Saya hanya menjadi ahli selama dua hari sebelum nekad menarik diri kerana beberapa kali dimarahi kerana enggan hadir ke perjumpaan atas alasan ingin meluangkan masa dengan keluarga."

Min (bukan nama sebenar): "Saya bertemu rakan lama di WeChat yang tidak putus-putus mempelawa saya keluar dengannya. Seperti biasa, saya dibawa bertemu rakan MLM dan apabila saya mengadu kekurangan wang modal, dia mengajar saya menipu ibubapa demi mendapatkan modal melabur dalam skim ini. Setelah menyertainya, barulah saya menyedari taktik mereka mensasarkan mereka yang terdesak untuk hidup mewah. Tetapi segalanya telah terlambat, saya telah kerugian berpuluh ribu ringgit kerana terpedaya dengan hasutannya untuk membuat pinjaman bank. Lebih teruk, pengajian saya terabai dan terpaksa mengulangi pengajian semester terakhir yang tercicir."

Gambar: Rojak Daily

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top