CLOSE
CLOSE

Nak Murah Punya Pasal, Jangan Sampai Anda Pula Terjerat

Platform perniagaan atas talian dikesan menawarkan produk 'asli' kepada pelanggan.


  • Share:

Nak Murah Punya Pasal, Jangan Sampai Anda Pula Terjerat
Antara label jenama terkenal yang dirampas pihak KPDNKK Pulau Pinang. (Gambar: Eiylla Syaharith)
Zaman sekarang tidak kira golongan muda atau sudah berusia, sesiapa saja lebih senang memilih perkhidmatan atas talian untuk membeli sesuatu barangan.

Alasan pengguna ialah ia lebih mudah, pantas dan juga paling menarik sebab murah. Bayangkan barangan berjenama yang berharga beribu ringgit boleh dibeli pada harga diskaun sehingga 50 peratus untuk model yang sama.

Namun, tahukah anda meskipun ia seolah barangan model yang sama tetapi jangan terlalu ghairah membeli. Ini kerana barangan yang dibeli berkemungkinan besar bukan asli!

 
BARANGAN BERJENAMA 'KANTOI'

Sebuah syarikat yang menjalankan kegiatan perniagaan atas talian menggunakan platform perniagaan atas talian terkenal dikesan cuba untuk menipu orang ramai khususnya wanita.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang mendedahkan, barangan berjenama seperti Louis Vuitton (LV), Christian Dior, Prada, Coach dan Bonia  dijual pada harga tawaran yang jauh lebih murah dari harga pasaran antara RM200 sehingga RM700.

Lebih mengejutkan, penjual ini bertindak memasarkan segala produk beg tangan jenama terkenal menerusi platform perniagaan atas talian seperti Lazada, 11Street dan Shopee.com dengan tawaran harga yang cukup istimewa bertujuan menarik perhatian pelanggan khususnya wanita yang meminati beg tangan.

Taktik licik itu bagaimanapun terbongkar apabila syarikat yang tidak mempunyai sebarang papan tanda syarikat diserbu pihak KPDNKK jam 11 pagi semalam di Jelutong.

Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Pulau Pinang, Mohd Fakhrie Abdullah (kanan) bersama pegawai penguatkuasa KPDNKK menunjukkan beg tangan wanita pelbagai jenama tiruan yang dirampas.

Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Pulau Pinang, Mohd Fakhrie Abdullah berkata, dalam pemeriksaan itu sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNKK bersama pemilik cop dagangan jenama memeriksa sebuah premis tiga tingkat.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu terdapat pelbagai beg wanita Gred A yang direka bentuk dengan pelbagai jenama terkenal yang dipercayai dibawa masuk dari China.

Katanya, syarikat berkenaan merupakan syarikat pemborong dengan menerima segala tempahan pelanggan melalui laman niaga sebelum meletakkan label jenama terkenal pada setiap beg yang ditempah dan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan Poslaju.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai beg tangan wanita ditemui disimpan didalam kotak yang siap berbalut kemas dan dianggarkan lebih RM21,000 termasuk dua komputer dirampas dalam operasi itu,” katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Mohd Fakhrie berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan seorang lelaki berusia 40-an ditahan untuk pemeriksaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit barang atau tiga tahun penjara,” katanya.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top