CLOSE
CLOSE

Lima Telefon Pintar Terbaik 2017, Edisi 'YouTubers'

12 'YouTubers' memilih telefon pintar kegemaran mereka pada tahun ini.


  • Share:

Lima Telefon Pintar Terbaik 2017, Edisi 'YouTubers'
Apakah telefon pintar pilihan MKBHD? (Gambar: YouTube SuperSaf TV)
Tahun 2017 bakal melabuhkan tirainya dalam tempoh seminggu saja lagi. Tidak lengkap rasanya jika tidak menyenaraikan telefon pintar terbaik yang dihasilkan pada tahun ini.
 
Jika diimbas kembali pada awal tahun ini, peranti daripada jenama terkenal masih menguasai pasaran. Jenama seperti Apple, Samsung, Huawei dan Oppo antara yang terus kekal menyerlah pada tahun ini.

Bagi menyenaraikan telefon pintar terbaik 2017, Rojak Daily Skop! memilih untuk melakukan sedikit kelainan dengan menggunakan pilihan daripada 'YouTubers' yang popular dalam dunia ‘tech’.
 
Pemilik saluran YouTube iaitu Supersaf TV yang terkenal dengan ulasan produk teknologi baru-baru ini telahpun mengumpul 12 'YouTubers' yang popular dalam kalangan 'kaki gajet'. Setiap daripada mereka kemudian menyenaraikan telefon pintar yang dirasakan terbaik bagi tahun ini.
 
Antara yang terlibat adalah Casey Neistat, Marques Brownlee (saluran MKBHD), Justine Ezarik (iJustine), Jon Rettinger (TechnoBuffalo), Michael Fisher (MrMobile), Jaime Rivera (PocketNow), Zack Nelson (JerryRigEverything), Michael Kukielka (DetroitBORG), Ash (C4ETech), Armando Ferreira (MondoBytes), David Cogen (The Unlockr) dan Enobong Eteh (BooredAtWork)
 
Berdasarkan pemilihan mereka, ini senarai telefon pintar terbaik 2017:
 
1. GOOGLE PIXEL 2/XL

Telefon generasi kedua daripada Google di bawah siri Pixel. 
Pasti ada yang menjangkakan peranti daripada Samsung atau Apple berada di kedudukan pertama bukan. Namun, hasil pilihan lima YouTubers ini menjadikan Google Pixel 2/XL sebagai telefon pilihan 2017!
 
Antara yang memilih peranti ini adalah Marques Brownlee (MKBHD), Jaime Rivera, Armando, Ash dan David Cogen.
 
Kekuatan utama pada Pixel 2/XL adalah pada kamera telefon ini yang mendapat skor tertinggi dalam ujian DxOMark.
 
Biarpun tidak menyertai ‘jentera’ dwi kamera tetapi gabungan sebuah lensa dengan perisian ditawarkan Google mampu menjadikan Pixel 2 sebagai kamera terbaik dalam kategori telefon pintar. Pixel 2 menerima markah sebanyak 99 dalam aspek foto manakala 96 bagi ujian video.

2. SAMSUNG GALAXY NOTE 8

Tiada telefon pintar lain yang memfokuskan fungsi stylus seperti Galaxy Note 8. 
Samsung Galaxy Note 8 mempunyai skrin beresolusi QuadHD+ jenis Super Amoled bersaiz 6.3 inci dengan nisbah paparan 18.5:9.

Buat pertama kalinya, Samsung menerapkan lensa dwi kamera pada peranti mereka bagi membolehkan imej diambil dengan kesan ‘bokeh’.
 
Selain itu fungsi S Pen sehingga kini masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana jenama menjadikan ia sebagai telefon pintar yang serba boleh.Tidak hairanlah telefon ini menjadi pilihan pengguna di luar sana.

Supersaf TV, Casey dan Enobong Eteh antara yang memilih telefon ini sebagai telefon pintar terbaik 2017.
 
3. APPLE IPHONE X

Skrin OLED iPhone ini dihasilkan oleh Samsung. 
Selepas hadir dengan rekaan yang hampir sama sejak kemunculan iPhone 6, Apple akhirnya memecah benteng kepompong mereka dengan penghasilan iPhone X.
 
Walaupun Apple menggelarkannya sebagai iPhone 10 tetapi penggunaan huruf 'X' itu sendiri lebih sebati dengan model ini. Oleh itu, orang ramai lebih gemar memanggilnya sebagai iPhone X
 
Antara fungsi baru yang diperkenalkan termasuklah rekaan gelas pada bahagian depan dan belakang, skrin OLED bersaiz 5.8 inci, cip pemprosesan A11 Bionic, pengecaman wajah Face ID dan pengecas tanpa wayar.
 
Michael Kukielka, Jaime Rivera dan Justine Ezarik memilih iPhone X sebagai pilihan utama mereka pada tahun ini.
 
4. ONE PLUS 5T

Kesinambungan daripada model One Plus 5 yang turut dilancarkan pada tahun ini.

Model terbaru daripada One Plus ini adalah kesinambungan daripada model One Plus 5. Masih mengekalkan fungsi sama iaitu cip Snapdragon 835 dan memori sehingga 8GB RAM, model terbaru ini memfokuskan kepada penaikan taraf paparan skrin.

OnePlus 5T menggunakan skrin bersaiz 6-inci dengan panel AMOLED serta nisbah skrin 18:9. Dengan ukuran saiz dan nisbah ini, telefon ini mencapai piawaian 2017 yang mengetengahkan skrin besar dengan bingkai minima.
 
Individu yang memilih model ini bukan calang-calang kerana Zack Nelson daripada JerryRigEverything adalah 'YouTubers' yang menguji ketahanan telefon pintar ini. Menurut Zack, One Plus 5T antara telefon paling tahan lasak dalam ujian dilakukannya.

5. BLACKBERRY KEY ONE
 
Ada yang masih menggunakan Blackberry?

Pemilihan dibuat oleh Michael Fisher pastinya mengejutkan ramai pihak. Pasti ada yang mempertikaikan pemilihan 'YouTubers' ini.
 
Namun, Michael mempunyai alasannya tersendiri. Menurutnya, telefon ini menyediakan pengalaman menaip yang memuaskan kerana masih menggunakan papan kekunci fizikal.
 
Dengan fungsi ini, tugas untuk menulis skrip, nota, idea atau membalas e-mail pastinya lebih mudah.
 
BlackBerry KeyOne dilancarkan sekitar April lalu menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 625, memori 3GB RAM.

Bagi paparan pula, model ini menggunakan skrin bersaiz 4.5-inci. Kamera belakang 12-megapixel, dan kamera hadapan 8-megapixel.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top